Wednesday, July 2, 2025

Bila Aib Suami Disebar Kerana Emosi

Terdengar satu kisah baru-baru ini, viral dalam kalangan kaum ibu — katanya kisah benar. Seorang isteri yang katanya ‘terluka’ dan ‘terguris’ hati dengan perangai suaminya.

Katanya si suami terlalu asyik dengan telefon bimbit. Jarang bercakap, kurang mesra. Lalu datanglah rasa curiga dalam diri isteri.

Satu pagi si isteri pun diam-diam periksa telefon suaminya — buka mesej, baca chat, skrol galeri, buka history.

Dan seperti yang ditakuti, dia ‘jumpa’ sesuatu. Tak pasti apa. Tapi katanya cukup buat hati remuk.

Maka isteri ini luahkanlah perasaannya pada sahabat rapatnya. Katanya, “Aku rasa aku dah tak bahagia… aku rasa dia berubah… aku rasa aku kena buat sesuatu.”

Sahabat itu pun beri ‘semangat’ dan katanya, “Kalau kau simpan sorang diri, nanti kau jadi anxiety. Kena luah. Aku boleh tolong kau.”

Maka dari situ bermulalah ‘bantuan’. Kisah yang asalnya rahsia antara suami isteri mula dikongsi kepada orang ketiga. Kemudian orang keempat. Kemudian tersebar dalam grup. Kemudian jadi ‘pengajaran’ konon untuk wanita lain.

Dan seperti biasa, ramai yang ‘empati’ tanpa tahu hujung pangkal.

Ada yang tulis: “Sis, kuatkan hati.”

Ada yang komen: “Lelaki memang macam tu. Kita je yang selalu dikhianati.”

Ada yang tag orang lain: “Macam kisah kau, kan?”

Tanpa mereka sedar — satu per satu aib rumahtangga sedang dibuka kepada umum. Sedang ditelanjang tanpa segan. Tanpa izin. Tanpa timbang rasa

Persoalannya sekarang:

1. Adakah membuka telefon pasangan tanpa izin itu tindakan yang mulia? Bila rasa curiga mendahului adab, syak sangka pun dijadikan dalil. Sedangkan Rasulullah ﷺ bersabda:
"من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه"
“Antara tanda baiknya Islam seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang tidak memberi manfaat padanya.”
— (Riwayat al-Tirmizi)

2. Kenapa bila dah jumpa sesuatu yang tak sedap, tak pergi terus kepada pasangan? Kenapa cari orang luar untuk ‘menasihat’? Adakah benar-benar mahu menyelamatkan rumahtangga atau hanya ingin menang emosi dan rasa?

3. Sahabat pun, tolong fikir sikit. Bila kawan cerita, bukan semua benda kita perlu dengar dan sebarkan. Kita bukan ‘penyelamat perkahwinan’ orang. Kadang-kadang kita hanya jadi penyebar fitnah, pembakar bara.

Satu pesanan untuk para isteri — dan suami juga:

Tak semua luka perlu dijerit. Tak semua tangis perlu dipertonton.

Kadang-kadang ‘sabar’ itu bukan kerana kita lemah, tapi kerana kita sedang menjaga kehormatan orang yang kita janji nak cinta dan lindungi.

Bila pasangan buat salah, betulkan dengan hikmah. Bukan dengan aib. Bukan dengan drama.

Kita semua ada kelemahan. Hari ni kita buka aib orang, esok mungkin Allah bukakan aib kita — depan orang ramai, tanpa sempat kita tutup.

Kalau hari ni kita punya pasangan yang masih menutup keaiban kita, masih bersabar walau tahu buruk kita, hargailah.

Mereka bukan ‘bodoh’, tapi mereka bijak menjaga maruah rumahtangga.

Dan kalau kita pula yang diuji dengan perasaan curiga atau kecewa — kembalilah pada Allah, bukan pada ‘circle’ yang hanya tahu menyalakan api.

Kerana bila rumah tangga jadi content, aib jadi modal, dan emosi jadi tuan — tiada siapa pun akan menang, kecuali syaitan.