Wednesday, July 2, 2025

Bila Aib Suami Disebar Kerana Emosi

Terdengar satu kisah baru-baru ini, viral dalam kalangan kaum ibu — katanya kisah benar. Seorang isteri yang katanya ‘terluka’ dan ‘terguris’ hati dengan perangai suaminya.

Katanya si suami terlalu asyik dengan telefon bimbit. Jarang bercakap, kurang mesra. Lalu datanglah rasa curiga dalam diri isteri.

Satu pagi si isteri pun diam-diam periksa telefon suaminya — buka mesej, baca chat, skrol galeri, buka history.

Dan seperti yang ditakuti, dia ‘jumpa’ sesuatu. Tak pasti apa. Tapi katanya cukup buat hati remuk.

Maka isteri ini luahkanlah perasaannya pada sahabat rapatnya. Katanya, “Aku rasa aku dah tak bahagia… aku rasa dia berubah… aku rasa aku kena buat sesuatu.”

Sahabat itu pun beri ‘semangat’ dan katanya, “Kalau kau simpan sorang diri, nanti kau jadi anxiety. Kena luah. Aku boleh tolong kau.”

Maka dari situ bermulalah ‘bantuan’. Kisah yang asalnya rahsia antara suami isteri mula dikongsi kepada orang ketiga. Kemudian orang keempat. Kemudian tersebar dalam grup. Kemudian jadi ‘pengajaran’ konon untuk wanita lain.

Dan seperti biasa, ramai yang ‘empati’ tanpa tahu hujung pangkal.

Ada yang tulis: “Sis, kuatkan hati.”

Ada yang komen: “Lelaki memang macam tu. Kita je yang selalu dikhianati.”

Ada yang tag orang lain: “Macam kisah kau, kan?”

Tanpa mereka sedar — satu per satu aib rumahtangga sedang dibuka kepada umum. Sedang ditelanjang tanpa segan. Tanpa izin. Tanpa timbang rasa

Persoalannya sekarang:

1. Adakah membuka telefon pasangan tanpa izin itu tindakan yang mulia? Bila rasa curiga mendahului adab, syak sangka pun dijadikan dalil. Sedangkan Rasulullah ﷺ bersabda:
"من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه"
“Antara tanda baiknya Islam seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang tidak memberi manfaat padanya.”
— (Riwayat al-Tirmizi)

2. Kenapa bila dah jumpa sesuatu yang tak sedap, tak pergi terus kepada pasangan? Kenapa cari orang luar untuk ‘menasihat’? Adakah benar-benar mahu menyelamatkan rumahtangga atau hanya ingin menang emosi dan rasa?

3. Sahabat pun, tolong fikir sikit. Bila kawan cerita, bukan semua benda kita perlu dengar dan sebarkan. Kita bukan ‘penyelamat perkahwinan’ orang. Kadang-kadang kita hanya jadi penyebar fitnah, pembakar bara.

Satu pesanan untuk para isteri — dan suami juga:

Tak semua luka perlu dijerit. Tak semua tangis perlu dipertonton.

Kadang-kadang ‘sabar’ itu bukan kerana kita lemah, tapi kerana kita sedang menjaga kehormatan orang yang kita janji nak cinta dan lindungi.

Bila pasangan buat salah, betulkan dengan hikmah. Bukan dengan aib. Bukan dengan drama.

Kita semua ada kelemahan. Hari ni kita buka aib orang, esok mungkin Allah bukakan aib kita — depan orang ramai, tanpa sempat kita tutup.

Kalau hari ni kita punya pasangan yang masih menutup keaiban kita, masih bersabar walau tahu buruk kita, hargailah.

Mereka bukan ‘bodoh’, tapi mereka bijak menjaga maruah rumahtangga.

Dan kalau kita pula yang diuji dengan perasaan curiga atau kecewa — kembalilah pada Allah, bukan pada ‘circle’ yang hanya tahu menyalakan api.

Kerana bila rumah tangga jadi content, aib jadi modal, dan emosi jadi tuan — tiada siapa pun akan menang, kecuali syaitan.

Friday, June 6, 2025

Pornografi Itu Satu Musibah

🔴 Pornografi itu satu musibah.

Namun musibah yang lebih besar… adalah apabila hatimu tidak lagi menganggapnya sebagai satu musibah!

Apa yang paling berbahaya tentang pornografi?

Ia memuaskan nafsumu secara haram, hingga kamu lupa akan yang halal. Ia memudarkan jiwamu, mencuri sedikit demi sedikit rasa malumu, dan merosakkan ketenangan hidupmu — tanpa kamu sedar.

Bahkan… ia mengikis imanmu.

Baginda ﷺ bersabda:

"لاَ يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ"

"Tidaklah seorang penzina itu berzina dalam keadaan dia beriman."

— Riwayat al-Bukhari

Imanmu tidak dicabut sekaligus,

tetapi ditarik sedikit demi sedikit — dari satu pandangan yang haram, atau satu dosa yang di ulang-ulang, hingga akhirnya kamu menjadi kosong.

Engkau mulanya membenci, kemudian mulai menerima, kemudian mula mencari alasan untuk menonton, hingga akhirnya kamu tidak lagi melihatnya sebagai dosa atau kesalahan!

Menonton pornografi bukan sekadar dosa; ia adalah ujian kejujuran imanmu, dan ketakutanmu kepada Allah.

Ujian yang memperlihatkan siapa dirimu yang sebenar, bila tiada siapa melihat mu, dan kamu berselindung di sebalik kesunyian dan ruang peribadi.

{أَلَمْ يَعْلَمْ بِأَنَّ اللَّهَ يَرَىٰ}

"Tidakkah dia mengetahui bahawa Allah maha melihat?"

— [Surah al-‘Alaq: 14]

Satu ayat ini sudah cukup…

Cukup untuk buat hatimu bergetar, bila pintu-pintu di kunci, dan kamu sangka tiada siapa memandangmu…

Hayatilah sabda Nabi ﷺ:

"العَيْنُ زِنَاهَا النَّظَرُ"

"Zina mata adalah dengan memandang."

— Muttafaqun ‘alayh

Maka ucapkanlah:

يا رب!

أنا لا أزعم النقاء أو الطهارة، ولا أدَّعي القوة، ولكن قلبي يخافك ويحبك ويخشاك، فاللهم بغِّض إليَّ هذا الإثم، واقطع عني سُبُله، وسدَّ عني أبوابه، وأبدلني خيرًا منه.

"Ya Allah!

Aku tidak mendakwa diri ini suci atau bersih,

dan aku tidak juga mengaku kuat,

tetapi hatiku takut kepada-Mu,

mencintai-Mu dan gentar kepada-Mu.

Maka ya Allah, bencikanlah aku terhadap dosa ini,

putuskanlah segala jalan yang menuju kepadanya,

tutuplah segala pintunya daripadaku,

dan gantikanlah ia dengan sesuatu yang lebih baik."

Dan Ketahuilah, kamu bukan tidak ada jalan keluar.

Inilah beberapa usaha yang boleh membantumu:

1. Jika kamu tidak mengisi jiwamu dengan kebenaran, ia akan dipenuhi kebatilan.

  • Isi masa lapangmu dengan sesuatu yang bermanfaat dan kamu sukai.
  • Kerana waktu kosong ialah saat dosa mudah menyelinap.

2. Padamkan aplikasi, dan tutup segala jalan yang membawa kepadanya, sebelum kamu terjerumus ke dalam jurang yang dalam.

3. Hiburkan kesunyianmu.

Duduk bersendirian terlalu lama tanpa teman soleh — seperti sahabat atau buku — adalah pintu luas bagi tergelincirnya hati, maka jangan biarkan dirimu hanyut dalam angin nafsu.

4. Tukar lokasi bila terasa lemah.

Alihkan dirimu kepada aktiviti fizikal atau mental. Kadang-kadang, penyelamatan itu datang melalui satu langkah saja.

Nabi ﷺ bersabda:

احِفظِ الله يحفظْكَ

"Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu..."

Namun kamu... tidak menjaga pandangan mu, tidak menjaga waktu mu, tidak menjaga rasa malu, dan tidak menjaga dirimu saat bersendirian.

Lalu kamu tertanya-tanya:

"Kenapa aku tidak terpelihara dari kegelisahan, kekosongan, dan rasa hilang arah?"

Allah berfirman:

{يَسْتَخْفُونَ مِنَ النَّاسِ وَلَا يَسْتَخْفُونَ مِنَ اللَّهِ وَهُوَ مَعَهُمْ}

"Mereka menyembunyikan (dosa) daripada manusia, tetapi mereka tidak malu daripada Allah, sedangkan Dia bersama mereka."

— [Surah al-Nisā’: 108]

Aneh sungguh manusia ini!

Jika kamu malu kepada makhluk yang tidak nampak mu, kenapa kamu tidak malu kepada Pencipta yang tidak pernah lalai walau sesaat dari memandangmu?

اللهم هب شباب المسلمين حياءً لا يبهت، وخشية تقف بينهم وبين المعصية، وارزقهم قلوبًا إذا اختلت .. خافت.و إذا اجترأت .. ثابت. وإذا ضَعُفت .. آبت. وإذا أذنبت .. تابت وعادَت.

Ya Allah!

Kurniakanlah kepada pemuda-pemudi Muslim rasa malu yang tidak pudar,

dan ketakutan yang menjadi penghalang antara mereka dan maksiat.

Anugerahkan kepada mereka hati yang:

Bila bersendirian, merasa takut;

Bila tergelincir, segera bangkit;

Bila lemah, kembali kepada-Mu;

Bila berdosa, bertaubat dan kembali ke pangkuan-Mu.

اللهم آمين